Skip to content

Malaysia Perlu Bersyukur Situasi Covid-19 Dalam Kawalan

Maka apabila mereka naik kapal mereka mendoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya; maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, tiba-tiba mereka (kembali) mempersekutukan (Allah)” Quran, 29:65

Pada 7 Jun 2020, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula pada 10 Jun, menandakan batu loncatan Malaysia dalam usaha menangani jangkitan Covid-19. Tidak disyaki lagi, keadaan di negara lain jauh lebih teruk berbanding Malaysia. Malaysia juga menerima pujian daripada banyak negara atas kejayaan menangani penularan Covid-19.

Rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana dilimpahi dengan kurniaan rahmat keselamatan dan ketenteraman (sekurang-kurangnya buat waktu ini). Walaupun pada mulanya rakyat Malaysia dilanda kerisauan dan ketakutan, namun keadaan masih bawah kawalan. 

Bagaimanakah kita sebagai hamba menzahirkan rasa kesyukuran kepada Yang Pemurah? Fikirkan tentang sesuatu masa seseorang merasai rasa berterima kasih kepada seseorang. Boleh jadi membaca sesuatu buku yang sangat berguna, dibantu dalam waktu kesusahan, malah juga diselamatkan daripada sesuatu situasi hampir dibunuh. Adakah cara kita bersyukur kepada mereka hanya dengan berkata “terima kasih” kemudian sambung pekerjaan seharian? Tidak! Setiap insan akan terlahir dalam dirinya rasa hendak membalas jasa manusia lain. 

Begitu juga hubungan seorang makhluk dengan Khaliq (Pencipta). Mengenali Tuhan sebagai Yang Memberi Rezeki akan melahirkan rasa dalam diri untuk membalas pemberian tersebut, walaupun manusia tidak mungkin boleh membalas sepenuhnya. Namun, manusia sering melupakan nikmat dan akhirnya lupa siapakah Pemilik dan Pengurus asal mereka. Inilah yang digambarkan dalam ayat Quran pada awal artikel ini. 

Keamanan Malaysia menangani Covid-19 boleh dijadikan iktibar untuk rakyat Malaysia mengingati semula nikmat Allah, lantas sujud hanya kepadaNya tanpa menyekutukanNya.

Adalah dengan kepentingan yang tinggi sekali untuk kita memikirkan semula cara-cara kita menggunakan rezeki supaya selari dengan tujuan Yang Memberi Rezeki memberi rezeki. 

Pertama sekali adalah untuk memperbetulkan semula ideologi kita. 

Hakikatnya, yang memungkinkan keselamatan kita ialah Pengurus alam ini. Mengapakah saya kata begini? 

Manusia bergantung kepada alam pada setiap fasa hidup mereka di dunia. Apabila mereka berada di dalam rahim ibu, manusia bergantung sepenuhnya kepada ibu mereka melalui pertalian darah tali pusar. Tali pusar itu mengangkut oksigen dan nutrien untuk memastikan fetus tersebut untuk terus hidup. Fetus itu akan gagal untuk meneruskan hidup jika tali pusar itu terputus terlalu awal. 

Hakikatnya, manusia masih tidak terlepas daripada bergantung kepada benda-benda lain untuk hidup setelah saat manusia itu dilahirkan. Sepertimana fetus bergantung sepenuhnya kepada ibunya untuk hidup, manusia bergantung sepenuhnya kepada alam untuk meneruskan hidup. Manusia masih bergantung kepada udara untuk oksigen, kepada tanah untuk hasil pertanian, kepada haiwan untuk daging, kepada lautan untuk sumber protein. 

Begitu juga keselamatan yang kita kecapi hari ini, ianya bergantung kepada faktor-faktor lain seperti keberadaan pegawai kesihatan, kesediaan ubat-ubatan, malah juga faktor keadaan seperti jarak klinik, kesediaan manusia dan lain-lain. 

Sesungguhnya kami milik Allah, dan sesungguhnya kepada-Nya kami kembali. 

Hakikatnya, semua komponen alam yang manusia bergantung kepada (termasuk ciptaan manusia sendiri), kembali semula balik kepada Pencipta. Ini adalah kerana setiap komponen alam pasti bergantung kepada komponen alam yang lain, yang akhirnya rantai kebergantungan, jika dijejaki, akan kembali semula kepada Al-Faatir (Yang Memulakan/ Originator). Adalah dengan ini, yang paling berhak menerima kesyukuran dan pujaan ialah tidak melainkan Allah. Tidak berhak untuk seseorang berterima kasih kepada doktor, pemerintah, ubat, tanpa memberikan kesyukuran dan pujaan yang lebih besar dan yang selayaknya kepada Allah. 

Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya, Maha Terpuji.” Quran, 35:15

Semuanya bergantung pada cara kita mengenali dan memahami hakikat sesuatu. Oleh sebab itu Tuhan mengatakan “..hanya yang mengetahui takut kepada Allah..”

Kedua, mengenal pasti cara bersyukur

Bersyukur tidaklah cukup hanya dengan  mengatakan kesyukuran namun tidak menggunakan pemberian dengan betul. 

Kita sudah tahu bahawa yang memberi rezeki kepada manusia ialah Tuhan. Tetapi bagaimanakah cara bersyukur yang selayaknya diberi? Cara bersyukur yang betul adalah dengan mengabdikan diri hanya kepada Dia. Ini bermaksud tuhan-tuhan lain perlulah di tinggalkan, lalu meletakkan Allah kuasa tertinggi dalam setiap keputusan hidup kita. 

Tuhan-tuhan lain adalah palsu dan tidak berhak disembah. Ini adalah kerana, seperti yang dinyatakan di atas, yang memulakan penciptaan dan mempunyai kuasa mutlak atas ciptaan hanyalah Al-Faatir. Tuhan-tuhan lain tidak ada saham sedikitpun dengan kuasa Allah. 

“Tuhan-tuhan lain” di sini bermaksud apa sahaja yang menjadi tujuan akhir seseorang. Boleh jadi harta kekayaan, isteri dan anak-anak, malah juga, ideologi-ideologi seperti nasionalisme, hedonisme dan lain-lain. Hakitkatnya, tuhan-tuhan lain ini pada pangkalnya satu: hawa nafsu diri sendiri. Inilah apa yang dikatakan dalam al-Quran:

“Apakah kamu tidak melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?” Quran, 25:43

Orang yang mengikuti hawa nafsunya tidak akan tentu hidupnya. Dia tidak tahu apa yang dia mahukan kerana nafsu manusia mahukan banyak perkara. Dia juga tidak boleh bahagia kerana nafsu tidak pernah berhenti. 

Islam mengajar manusia untuk membebaskan diri daripada menyembah tuhan-tuhan palsu ini dan hanya menghadapkan wajah kepada (menyembah) Allah. 

Mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhir mencari kebahagiaan daripada Tuhan mereka yang menciptakan. Mereka menyedari kerendahan diri mereka dan meyakini bahawa hari akhirat menjanjikan kenikmatan yang lebih besar daripada segala yang ada di dunia. 

Ketiga, mengenal pasti di mana salah kita (bertaubat) dan memperbetulkan diri (hijrah). 

Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan Malaysia jauh daripada kesempurnaan. Ternyata, masih ada kezaliman yang berlaku seperti endemik rasuah, penipuan, pengamalan sistem kewangan riba, majikan yang mengambil kesempatan atas pekerja, kadar kemiskinan yang meningkat, masalah sosial, keganasan rumah tangga, dan lain-lain. Malah, sistem politik serta perundangan di Malaysia masih tidak meletakkan Yang Berhak Dijadikan Kuasa Tertinggi sebagai kuasa tertinggi, yakni Pemilik dan Pengurus alam.

Ini melanggar cara kita sepatutnya membayar kesyukuran kita kepada Yang Memiliki dan Yang Mengurus. Bagaimanakah kita kata kita bersyukur jika akhirnya kita tidak mengiktiraf Tuhan sebagai Rabb (Pengurus) dan Maalik (Raja)? 

Sepatutnya Tuhan berada di atas sekali dalam kehidupan setiap hamba. Ini bermakna setiap perbuatan mestilah untuk kebenaran dan kebaikan. 

Malangnya, pada hari ini, politik dipandang sebagai sesuatu yang kotor dan platform menguntungkan diri. Ahli-ahli politik sudah hampir sinonim dengan penipu dan manipulatif. Ini tidak sepatutnya terjadi. Sepatutnya, politik menjadi platform perubahan ke arah Tuhan, iaitu arah yang lebih baik dan sejahtera, dan bukannya keuntungan duniawi. 

Jika kita hendak mencapai keridhaan Tuhan, maka perlulah kepada memperbetulkan matlamat perjuangan. Matlamat perlulah bebas daripada keduniaan dan hanya kepada Allah, tanpa menyekutukan-Nya sedikit pun. “Tanpa menyekutukan-Nya” bermaksud mengejar redha Allah bukan kerana harta, pangkat, populariti, dan lain. Matlamat juga haruslah bebas daripada sentimen sosial seperti nasionalisme dan populisme kerana perkara-perkara ini mencacatkan niat kita menuju ke Allah. 

Sebaliknya, segala usaha perlu berdasarkan atas rasa ketaatan dan kesyukuran terhadap Pemilik kita. Oleh itu, politik haruslah berdasarkan kejujuran dan kerjasama, bukan manipulasi dan pergaduhan. 

Ekonomi haruslah tidak lagi berpaksikan sistem kapitalis tetapi berdasarkan sistem ekonomi yang dimandatkan oleh Tuhan. Kezaliman riba harus dihapuskan habis-habisan, kebajikan pekerja dijaga, penimbunan harta diharamkan. Kerajaan dan rakyat juga haruslah memastikan setiap keperluan asas dijamin bagi setiap individu seperti makanan, pakaian, tempat tinggal. 

Dalam suatu laporan hadis, nabi berkata: “Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.” Ini menunjukkan tanggungjawab orang yang beriman untuk menyedekah supaya keperluan asas semua ahli masyarakat dipenuhi. 

Keadilan hendaklah ditegakkan. Sistem kehakiman dan mahkamah perlu bebas daripada pengaruh mana-mana pihak lain. Kemaslahatan sosial juga perlulah diperkasakan. Gejala seperti pembuangan bayi perlulah dihentikan. Rakyat perlu diberi didikan tentang etika dan moral.

Konklusi

“Wahai manusia! Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepadamu dari langit dan bumi? Tidak ada tuhan selain Dia; maka mengapa kamu berpaling (dari ketauhidan)?” Quran 35:3

Ayat al-Quran di atas menutup artikel ini dengan baik. Satu, perlunya untuk manusia mengingati kembali nikmat Allah, kerana hanya dengan mengingati manusia mengambil pelajaran sekaligus bersyukur kepada Pemberi Nikmat. Kedua, perlunya kesedaran, atau kembali semula kepada ideologi yang benar yaitu Tuhanlah yang mencipta dan yang memberi rezeki, dan tiada kuasa atau sembahan selain Tuhan. Ketiga adalah untuk bertaubat lantas berhijrah ke jalan yang benar. Untuk Malaysia, ini bermaksud menghapuskan pemikiran dualisme (campuran hukum manusia dan ilahi) dalam politik dan sosial. 

Sign Up & Get Free Ebook
Get up-to-date with new articles and get a free Ebook entitled "How to find your 'why' in being a Muslim"- Must read for both Muslims and non-Muslims to set on a quest to discover meaning in life.
I agree to have my personal information transfered to MailChimp ( more information )
Powered by Optin Forms
Published inBahasa MelayuFinding GodFinding Islam

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *